Hentian Itu - Majalah Remaja, Isu Januari 2007

12:08 PM Aina Mastura 0 Comments

Sunyi dan sepi! Ya, dan tenang juga! Perasaan yang dapat menerangkan suasana berada di hentian bas berhampiran rumah Rizal pada setiap pagi. Rizal duduk seorang diri di hentian bas itu hampir setiap hari. Jam di tangan Rizal menunjukkan pukul 6.40 pagi, waktu yang biasa bagi seorang pelajar seperti Rizal menunggu bas di hentian itu. Rizal memandang ke kiri dan kanan. Menunggu sesuatu yang bakal tiba di hentian itu. Selalunya bas akan tiba setengah jam sekali  di hentian itu, namun, bukanlah bas yang dinantikan oleh Rizal. Lagi sepuluh minit sahaja, Rizal tidak akan keseorangan menunggu bas tiba. Seperti sudah dapat mengagak, hati Rizal mulai berdebar. Jantungnya mula berdegup laju. Peluh dingin mulai turun dari dahinya walaupun angin sejuk di waktu pagi menemani siapa sahaja yang menikmatinya.
Kelihatan dari jauh, seorang gadis berpakaian kemeja putih dan berseluar hitam berjalan menuju ke arah hentian bas itu. Rizal yang menyedari gadis itu telah hampir terus mengatur dirinya. Duduknya dikemaskan. Rambutnya juga dirapikan kembali. Sebaik sahaja gadis itu tiba di hentian itu, Rizal kembali berlagak seperti tiada apa yang berlaku. Rizal berpura-pura membaca buku teks Kimia yang berada dikeluarkan dari beg sekolahnya. Gadis itu duduk tidaklah terlalu jauh daripada Rizal. Tidaklah terlalu jauh bagi Rizal untuk melihat warna pemerah pipi yang dipakai oleh gadis itu.
Rizal tersenyum sendiri memerhatikan gadis itu. “Make-up baby face ke hari ni? Kasut pun warna pink. Hehe…” Fikir Rizal dalam hatinya. Rizal seperti sudah biasa dengan gaya yang akan dikenakan oleh gadis itu. Sebentar kemudian Rizal ketawa kecil melihat jam tangan gadis itu juga berwarna merah jambu. Sememangnya gadis itu bercadang untuk kelihatan ‘merah jambu’ barangkali.
Tiba-tiba gadis itu beralih memandang Rizal. Terbeliak biji mata Rizal. Jantungnya bagai dihentak oleh sesuatu yang keras. Sepantas mungkin dia mengalihkan pandangannya pada buku teks Kimia yang kononnya dibaca tadi. Dahinya dikerut-kerutkan seakan begitu khusyuk membaca. “Huh! Dia pandang pula. Kantoi…!”
Akhirnya bas yang dinantikan tiba. Rizal menarik nafas lega. Dia membiarkan gadis itu naik dahulu, kemudian baru dia menyusur dari belakang. Seperti biasa juga, Rizal akan duduk di tempat duduk yang berada di belakang gadis itu. Kali ini Rizal akan berasa lebih selesa dan tenang menikmati suasana pada waktu pagi yang indah. Sesejuk embun pagi, samalah seperti merasakan sejuknya hati Rizal memandang wajah gadis yang bersama dengannya menunggu bas pada setiap pagi. Manis sungguh gadis ini. Bagaimana agaknya kalau dia memakai baju kurung pula? Bagaimana agaknya ye? Ah, begini pun cantik! Rizal tersenyum sendiri kembali. Indahnya hari ku!
Tibalah Rizal di hentian bas yang berdekatan dengan sekolahnya. Rizal akan turun sambil anak matanya menjeling ke gadis itu. Bas itu pun berlalu dan Rizal tidak akan sabar menunggu pagi keesokkan harinya. Bagaikan salah satu pembakar semangat untuk Rizal meneruskan harinya sebagai seorang pelajar tingkatan enam yang bakal menghadapi STPM pada akhir tahun ini. Rizal meneruskan langkahnya menuju ke sekolah. Selain daripada debaran memikirkan gadis itu, debaran memikirkan peperiksaan yang bakal menjelma pada akhir tahun ini juga amat merunsingkan. Persediaan masih belum cukup meyakinkan dirinya lagi untuk menghadapi STPM. Namun, sebagai anak tunggal dalam keluarganya, Rizal tahu dia harus berusaha sebagai harapan kepada ibu bapanya.
Riuh rendah kedengaran bunyi tapak kaki pelajar berjalan masuk ke kelas masing-masing. Waktu pembelajaran hampir bermula. Ada kelas yang pelajarnya sudah pun duduk diam tanda bersedia menunggu guru mereka. Ada pula kelas yang masih berkelakuan seperti berada di dalam pasar. Hal inilah yang terjadi dalam kelas Rizal. Mereka seakan sudah terbiasa dengan sikap Cikgu Aidil yang sering lambat masuk ke kelas. Ah, beliau sering saja sibuk dengan mesyuarat dan pentadbiran sekolah! Lebih kurang lagi setengah jam, barulah cikgu mata pelajaran Bahasa Inggeris itu akan memulakan kelasnya. Meriahnya kelas bagaikan tiada peperiksaan yang akan berlaku pada hujung tahun ini.
Rizal sedang rancak duduk berbual dengan rakan-rakannya. Tiba-tiba Rizal terdengar Nisa memanggilnya dari depan kelas. Nisa mengangkat kening sambil menunjukkan sampul kad berwarna biru. Rizal mengangguk lalu beredar dari tempat duduknya menuju ke luar kelas. Nisa juga melakukan perkara yang sama.
“Siapa yang bagi kad ni kat aku?” Rizal bertanya.
“La, kan aku dah kata, aku tak boleh beritahu kau. Nama pun secret admirer. So, it has to be a secret!” Nisa tersenyum.
“Ah, suka hati kau lah. Malas pula aku nak paksa kau beritahu aku.”
“Come on Rizal. Be patient. Nanti kau akan tahu juga siapa dia.”
Alah Nisa ni, nak bermisteri pula! Rizal mula naik pening memikirkan tentang kad-kad yang diterima daripada seseorang yang tidak dikenali. Secara yang lebih tepat, pengirim kad ini adalah peminat misteri Rizal. Puas Rizal memikirkan siapakah orangnya. Kata-kata yang tertulis dalam kad pemberian seseorang ini, sangat indah. Bermakna dan cukup puitis. Seperti bait-bait lirik lagu yang berirama, pastinya seseorang ini memiliki jiwa yang cukup romantis dan tenang. Siapakah dia? Kata Nisa, orang ini rapat dengan dirinya. Tapi Nisa hanya ada abang, dan tiada kakak atau pun adik perempuan. Katanya lagi, orang ini juga adalah orang yang dekat dengan Rizal.
DEKAT? Rizal memandang ke arah tempat duduk yang berdekatan. Kelihatan Riena sedang menjeling manja ke arahnya. Rizal hanya tersenyum manis membalas jelingan itu. Rizal terus berpaling ke tempat lain. Huh, Riena? Mungkin kah dia? Riena pun agak rapat dengan Nisa. Dan ramai orang dalam kelas ini tahu yang dua tiga menjak ini Riena sememangnya menunjukkan minat kepada Rizal. Tidak dilupakan juga, Riena terkenal dengan bakatnya menulis puisi. Tapi, jika dilihat pada sikap Riena, dia bukanlah seorang yang akan berselindung di sebalik tiang untuk memerhatikan seseorang. Riena lebih berani bertindak dalam mendapatkan apa yang dia mahu. Tak mungkin Riena yang menjadi peminat misteri ini. Rizal memandang Riena kembali. Kali ini Riena tersenyum manja pula. Sekali lagi Rizal membalas dengan senyuman seikhlas mungkin. Hmm, barangkali dia! Agaknyalah! Hmmm…
Sebelum keluar dari pagar sekolah, Rizal menyerahkan buku nota Pengajian Am kepada Azmi. Katanya hendak pinjam untuk sehari. Sempat ke Azmi hendak melengkapkan nota setebal itu dalam sehari? Baru kelam-kabut semua orang bila Puan Mazni meminta agar buku nota itu diserahkan pada hari esok untuk diperiksa. Siapa yang tidak kenal dengan kehebatan Cikgu Mazni dalam memerahkan tangan serta memekakkan telinga pelajar dengan kelantangan suaranya apabila marah. Tak berkesempatanlah Rizal hendak bermain futsal bersama Azmi petang ini.
Setibanya Rizal di rumah, Rizal merebahkan badannya di depan pintu dahulu. Ibu dan bapanya masih belum pulang. Penat lelah di sekolah pastinya akan bersambung di rumah dimana Rizal akan memasak sendiri, mengemas rumah, serta melakukan beberapa kerja rumah yang lain. Tidak lupa juga menjaga adik sepupunya, Izwan yang akan tiba sebentar lagi. Mak Long akan terekjut jika melihat Rizal terbaring didepan pintu seperti orang tidak bermaya.
“Abang? Abang? Abang?” Kedengaran suara nyaring Izwan memanggil dari depan rumah. Rizal yang baru sahaja selesai bersolat, terus bergegas turun untuk membuka pintu. Kelihatan adik sepupunya itu sedang menyadang beg berwarna hitam dan mukanya keletihan.
“Ha, baru sampai? Maklong mana?” Rizal mengambil beg hitam dari tangan Izwan. Izwan membuka kasutnya lalu terus berlari  masuk dan duduk di atas sofa.
“Mama nak cepat. Dia ada meeting. Mama kata dia amik lambat. Mungkin tengah malam, sebab dia ada dinner.” Termengah-mengah murid darjah empat ini berkata-kata. “Ha, lagi satu! Kawan abang nama Aina kirim salam dekat abang.”
“Aina? Aina mana pula ni?” Rizal menggaru kepalanya.
“Tah. Dia kata dia kawan abang masa sekolah rendah. Jumpa dia dekat The Store tadi. Mama yang kenal dia. Izwan tolong sampaikan je.”  
Aina? Oh ye! Baru Rizal teringat. Kawannya semasa di sekolah rendah dahulu. Lama benar tidak berjumpa. Bukan dia sahaja, tapi ramai lagi rakannya semasa di sekolah rendah yang Rizal gagal hubungi. Rizal berpindah ke sekolah asrama penuh semasa berada di tingkatan satu. Apabila Rizal mengambil keputusan untuk menyambung pembelajaranya di tingkatan enam, Rizal tidak lagi tinggal di asrama.
Aina? Ye, budak perempuan yang pernah menjadi bahan usikan Rizal dan rakan-rakannya semasa di sekolah rendah dahulu. Dengan perwatakannya yang pendiam serta suka menyendiri, Aina akan akan diganggu dan sering kali beg sekolahnya disembunyikan di mana-mana. Aina akan menjerit dan kadang-kadang sampai menangis. Masa itulah Rizal akan memulangkan apa sahaja yang disembunyikan serta meminta maaf. Lucu sekali melihat riak wajah Aina menangis sehingga  matanya menjadi kecil. Rizal tersenyum mengenang kembali saat itu. Bagaimanalah agaknya dia sekarang? Sudah pasti dia masih lagi sakit hati dengan perangai aku dulu jika dia ingat kembali, fikir Rizal.
Rizal menemani Izwan menonton rancangan animasi setelah mereka berdua selesai makan tengahari. Telefon bimbit Rizal berbunyi. Rizal mencapaiya lalu melihat nama Riena terpapar di skrin. Rizal menjawab panggilan itu. Riena bertanya sama ada Rizal keluar bermain futsal atau pun tidak pada hari ini. Katanya, mahu berjumpa. Ah, ada saja yang hendak dibualkan bersama dengan Rizal.
“Tak tahulah Riena. Saya tak ada mood pula nak main hari ni. Lagipun, Azim tak ada. Tak seronok pula rasanya.” Bersungguh Rizal menerangkan kepada Riena.
“Oh, yeke? Alah, mesti bosan petang ni. Kalau begitu, saya pun tak ada mood lah nak main bola jaring petang ni.”
“Kenapa pula?” Rizal berpura-pura tidak mengerti.
“Yelah. Awak tak ada, tak seronok pula rasanya.” Kedengaran Riena ketawa kecil.
Pandai pula dia ni mengusik kembali. Meremang juga Rizal bila berbual dengan Riena. Gadis yang pandai berkata-kata seperti ini mampu membuatkan mana-mana lelaki pun tertarik dengannya. Selain dari rupa, perwatakannya juga menarik. Dia pandai mengambil hati. Hai, Riena! Kenapa aku pula yang jadi pilihan? Bukankah ramai lagi lelaki yang lebih baik dari aku. Ah, mungkin aku yang ambil perkara ni terlalu serius.
Sebaik sahaja Riena menamatkan perbualan dengan Rizal, Rizal terus teringatkan hal peminat misterinya itu. Rizal mengambil beberapa kad yang disampaikan melalui Nisa. Sememangnya Rizal suka benar dengan hasil tulisan seseorang ini. Kata-katanya bukanlah kata-kata yang semata hasil tulisannya untuk seseorang yang istimewa, tetapi kata-kata semangat yang bermakna. Kata-kata mengenai liku-liku kehidupan yang tiada hentinya serta masa depan yang ingin diterokai cahayanya. Kepercayaan terhadap takdir dan hikmah yang berselindung disebalik setiap apa yang terjadi.
“Waktu tidak pernah meminta, Mahupun sekali merayu, Hanya membantu, Agar dirancang segala impian, Memberi petunjuk, Tentang takdir yang ditentukan, Masa hadapan, Bergantung kepada masa sekarang, Yang ditentukan oleh masa lalu.”
Oh, indah sekali kata-katanya! Seindah wajah gadis yang sering kutemui itu.
Ya, terbayang pula kehalusan wajah manis gadis di hentian itu. Pagi yang selalunya masih belum diterangi cahaya matahari, seakan berseri pabila gadis itu hadir menemani Rizal. Alangkah baiknya jika setiap puisi ini adalah karya gadis itu. Ungkapan yang keluar dari mulutnya pasti enak didengar, walau belum pernah sekali Rizal mendengar suaranya. Gabungan puisi dan gadis itu…hmm…inilah yang dibawa oleh Rizal ke dalam mimpi tidur siangnya. Entah bila agaknya Rizal tidak menyedari dia telah pun terlelap di kerusi membiarkan Izwan menonton televisyen seorang diri.
Seperti biasa, Rizal memandang kiri dan kanan. Itu dia! Dia dah datang! Debaran mula terasa. Kali ini buku teks Biologi pula yang menjadi “bahan bacaan” di hentian itu. Gadis itu telah pun mengambil tempat duduk berhampiran dengan Rizal. Rizal mula memerhatikan wajah gadis itu. Rizal begitu gemar melihat reaksi wajah gadis itu berubah-ubah. Bila menunggu bas, atau pun bila berada di atas bas, gadis itu gemar termenung. Namun termenungnya bukanlah menung yang biasa. Kadang-kadang Rizal melihat gadis itu tersenyum sendiri. Kadang-kadang gadis itu sedih. Kakinya juga sering dihentak-hentakkan. Kadang-kadang laju, kadang-kadang perlahan. Namun semua itu akan berhenti apabila bas tiba di hentian sekolah Rizal. Bukankah baik jika aku dapat bawa gadis ini sekali semasa aku belajar? Ah, belajar Rizal! Apa yang kau fikir ni? Ternyata angau ku ini tak dapat diubati!
Hari ini tiada pula kad yang dikirimkan. Bila Rizal bertanya kepada Nisa, Nisa katakan yang peminat misteri ini telah pun kirimkan sesuatu kepada Rizal. Tapi dia tidak pasti sama ada Rizal sudah terima atau pun tidak kirimannya itu. Rizal mula menggaru kepalanya. Hai, Nisa ni nak kenakan aku ke? Tiada pula Rizal menerima kiriman dari sesiapa hari ini. Ah, abaikan saja.
Belum sempat Rizal mengambil tempat duduk, Riena datang duduk disebelahnya. Riena mula mengukir senyuman manja serta dagunya diletak atas kedua tangannya yang dilipat. Berderau darah Rizal melihat Riena sedekat itu. Cantik juga dia ni! Nisa dari jauh hanya ketawa kecil melihat gelagat Rizal yang malu-malu kucing itu.
“Hari ni ada mood tak?” Riena memulakan bicara.
“Ha? Eh, perli ke?”
“Bukanlah perli. Cuma nak pastikan. Nanti saya tersalah cakap, awak marah saya pula.”
“Tak adalah. Saya ok je. Lagipun, apalah yang ditakutkan kalau saya marah.”
“Nanti kalau Rizal marah, saya yang susah hati.” Riena mengangkat keningnya sambil membelai rambutnya yang diikat itu. Bukan sahaja bijak berkata-kata, tapi bijak pula bermain dengan gerak tubuh. Azim dan rakan-rakannya dari tadi menunjukkan reaksi tidak puas hati. Hah, mereka cemburu! Apa yang mereka cemburukan? Rizal tidak pernah pun berfikir untuk menganggap Riena lebih dari sebagai seorang kawan. Rizal selesa dan senang berkawan dengan Riena, sama seperti Nisa. Memang Rizal mengagumi Riena sebagai seorang gadis yang diidamkan oleh ramai orang, namun begitu, hatinya telah pun menyatakan Riena sebagai seorang sahabat. Lebih lagi dia telah pun terpaut dengan gadis hentian itu.
Rindu kembali wujud dalam hati Rizal kepada gadis hentian yang mungkin tiada bezanya dengan Riena dari segi rupa. Namun begitu, melihat gadis hentian itu bagaikan satu rutin harian yang begitu Rizal gemari. Perasaan tidak sabar menunggu gadis itu muncul setiap pagi bagaikan satu keseronokan. Matanya memiliki seribu satu perasaan, senyumannya yang mengumpul setiap kemanisan dalam kehidupan, rambutnya yang panjang sentiasa lurus dan rapi sehingga tidak pernah menampakkan telinganya, hidungnya yang…
“Rizal? Oh, Rizal!” Lembut suara Riena memanggil Rizal. Rizal termenung rupayanya. Berjangkit barangkali dengan gadis hentian itu.
“Hey Rizal, awak mengelamun ye? Ingat dekat siapalah tu.” Riena mengusik manja sambil menepuk bahu Rizal. Rizal hanya tersengih. “Nah. Ambil ni.” Riena menyerahkan bungkusan coklat Black Forest kepada Rizal. Rizal terkejut. Mata Azim bertambah jelas perasaan api cemburu yang membara.
“Ini untuk apa?” Rizal cuba mendapatkan penjelasan.
“Saja saja. Suka nak bagi hadiah kat awak.” Riena menamatkan perbualannya di situ lalu beredar mengambil tempat duduknya kembali.
Rizal terpinga-pinga. Adakah ini kiriman yang dimaksudkan oleh Nisa? Adakah benar Riena peminat misteri itu? Rizal cuba mendapatkan kepastian daripada Nisa. Namun Nisa tidak memberi sebarang komen. Dia meninggalkan Rizal dengan seribu tanda tanya. “Alah, kau ni memang tak penyabar lah orangnya. Betullah kata budak tu. Kau ni sama je macam dulu. Tunggulah. Nanti kau tahulah siapa dia.” Hanya itu sajakah yang mampu dikatakan oleh Nisa. Pastinya itu tidak membantu Rizal langsung. Rizal tidak memahaminya. Rizal inginkan kepastian. Kepastian!
Sebagai seorang yang memiliki peminat misteri, pastinya kita ingin tahu siapakah yang menganggap kita sebagai insan istimewa dalam hidup mereka. Kalau begitu, perlukah aku meluahkan perasaan kepada gadis hentian itu? Rizal mula memikirkannya setelah hampir lima bulan dia hanya memerhatikan gadis itu. Lima bulan yang lalu gadis itu tiba-tiba sahaja muncul di hentian bas tempat Rizal menunggu bas ke sekolah. Kehadiran gadis itu bagaikan membawa perubahan pada setiap pagi yang Rizal hadapi. Mereka tidak pernah berbual. Hanya sepi yang menemani mereka berdua bersama menunggu bas di hentian itu. Gadis itu pula seperti berada dalam dunianya yang sendiri. Hanya sekali sekala sahaja dia akan memandang ke arah Rizal. Mungkinkah ini masanya bagi Rizal memulakan langkah?
Kelibat dua orang sedang duduk menanti bas yang bakal membawa mereka ke destinasi yang dituju bagi meneruskan  hari mereka. Pada pagi inilah pagi yang dinanti oleh Rizal. Rizal telah bernekad untuk menegur gadis di hentian itu. Cuba yang terbaik Rizal! Rizal memikirkan kembali apakah ayat yang akan dimulakan dan diteruskan. Baiklah! Inilah saatnya! Rizal menoleh memandang gadis itu. Gadis ini akan sentiasa berada di sebelah kanannya.
“Assalamualaikum…” Rizal memulakan bicara sambil bersedia untuk mengukir senyuman andai gadis itu berpaling memandangnya. Gadis itu tidak pun berpaling. Barangkali dia tidak dengar. “Assalamualaikum…” Kali ini lebih kuat sedikit dari sebelumnya. Tidak juga gadis itu berpaling. Kenapa? Dia memang sombong kah? “Assalamualaikum…?” Rizal kuatkan lagi suaranya. Harapannya gadis itu akan memandangnya. Ya, kali ini gadis itu memandang. Belum sempat Rizal membalas dengan senyuman, gadis itu telah pun berpaling ke arah lain kembali.
“Wah, sombongnya!” Rizal menyuarakan rasa tidak puas hatinya. Namun, masih lagi gadis itu tidak memberikan sebarang respon atau tindak balas kepada Rizal. Rizal merasakan panas hatinya bertambah-tambah. Dia datang dengan penuh perasaan, gadis itu melayan dia pula dengan muka yang tiada perasaan. Remuk hatinya! Menyesal sekali rasanya menegur gadis yang anti sosial seperti ini.
Bunyi loceng telah menandakan waktu rehat telah tiba. Rizal baru sahaja mahu memulakan langkahnya keluar daripada kelas. Perutnya berkeroncong sejak awal pembelajaran bermula tadi. Dia tidak sempat bersarapan di rumah kerana terlalu berdebar. Namun kini dia tidak sabar untuk menjamah sesuatu bagi mengisi perutnya. Air sejuk juga amat diperlukan bagi menyejukkan hatinya yang cukup panas mengenangkan peristiwa awal pagi tadi. Ah, sakitnya hati aku! Rizal mengetap giginya bila mengingatkan kembali wajah gadis itu. Kalau begini, elok Riena dari gadis hentian.
“Hey Zal…sabarlah. Kau nak makan seorang ke?” Nisa menyapa Rizal yang langkahnya laju dari biasa.
“Aku lepak dengan kawan-kawan akulah.” Rizal menjawab bersahaja. Tiada keinginan untuk berbual dengan sesiapa pada hari ini.
“Eh mamat ni, ok ke? Kau tak puas hati dengan sesiapa ke?” Nisa cuba melembutkan hati Rizal.
“Aku ok je. Tak ada apa-apa pun. Kau ni kenapa pula? Tak puas hati dengan aku?”
“Ewah, aku tanya baik baik, kena sembur pula! Ni ha, aku nak bagi kad kat kau.”
“Dahlah. Aku tak nak dah terima kad ni. Selagi kau tak beritahu aku siapa orangnya, kad ke, coklat ke, semua aku tak nak.” Tegas sekali Rizal menjelaskan.
Nisa berasa hairan melihat kelakuan Rizal. Nisa menyimpan dahulu kad yang sepatutnya diberikan kepada Rizal ke dalam poket bajunya. Takut diberi sekarang, mahu koyak pula kad itu nanti. Belum sempat tiba di kantin, mereka berdua bertembung dengan Riena dan Azim yang berdiri di tengah jalan. Kelihatan mereka berdua sedang bertengkar tentang sesuatu. Malas pula hendak mengambil tahu hal mereka berdua. Entah apa pula yang mereka sibuk debatkan itu. Niat Nisa dan Rizal untuk melintas sahaja tidak kesampaian apabila Riena menarik tangan Rizal serta merta setelah menyedari Rizal berhampiran.
“Ha, cuba awak tanya Rizal sendiri! Saya tak pernah pun cakap apa-apa dekat dia.” Riena tegas bersuara kepada Azim. Azim mengabaikan Riena.
Rizal menjadi bingung. Tambah lagi Rizal yang diperlakukan begitu. Entah apa sebenarnya yang terjadi. Rizal bertanya pada Riena bagi mendapatkan kepastian. Riena meminta Rizal menjelaskan kepada Azim bahawa selama ini Riena tidak pernah mengucapkan sebarang kalimah cinta atau sayang kepada Rizal. Riena hanya cuba bermesra dan hanya sekali itu sajalah Riena memberikan coklat kepada Rizal. Memang benar semua itu. Riena tidak pernah pun menyatakan hasrat hatinya untuk menjadikan Rizal sebagai kekasihnya. Rizal menjelaskan kepada Azim seperti yang disuruh oleh Riena.
Sebaik sahaja Rizal menjelaskan segalanya, Azim meminta maaf kepada Riena. Riena menarik muka lalu berlalu dari situ. Azim mengejarnya sambil mulutnya tidak henti meminta maaf. Lagaknya seperti filem Hindustan pula. Rizal terpaku berdiri memerhatikan mereka berdua berlalu dari situ. Seperti ingin ketawa pun ada. Nisa yang menyedari Rizal tidak begitu memahami keadaan sebenar yang berlaku mengambil tindakan menerangkan segalanya.
“Apa? Riena gunakan aku?” Terkejut Rizal mendengar penjelasan yang keluar dari mulut Nisa.
“Iye! Selama ni yang dia mesra dengan kau tu, nak cemburukan si Azim. Azim tu pemalu sangat nak cakap dengan Riena. Riena naik menyampah tunggu. Bila dia nampak Riena minat dekat kau, barulah kelam kabut Azim tu.” Bersungguh gadis kecil molek ini menceritakan apa sebenarnya yang berlaku.
“oh, selama ni yang dia bagi kad-kad dengan coklat tu, saja-sajalah nak menunjuk dengan Azim.”
“Kad-kad? Eh, kad-kad tu bukan Riena lah yang bagi.”
“Ha, habis tu, siapa pula? Kau ni janganlah berahsia dengan aku lagi.” Rizal merayu ingin mengetahui kebenarannya.
“Sabar Rizal. Kalau kau fikir betul betul, mesti kau dapat tahu siapa orangnya.” Nisa menyapa rakannya yang baru sahaja menghampiri mereka berdua. “Baiklah. Aku pergi dulu!”
“Macam nilah kawan. Tolonglah Nisa. Beritahu lah aku. Aku memang buntu. Tak tahu siapa orangnya.” Rizal cuba merayu sekali lagi dengan harapan dapat melembutkan hati kawan baiknya itu.
Nisa hanya berpaling membuat mimik muka yang lucu. Sempat juga Nisa bersuara dari jauh meninggalkan lebih banyak tanda tanya kepada Rizal. “Cuba kau ingat balik masa lepas kau!”
Masa lepas aku? Ah, Nisa ni pun nak berpuitis juga dengan aku! Rizal mengeluh panjang. Bila terlalu banyak berfikir, perut yang kosong pun boleh penuh. Seleranya yang meninggi tadi hilang begitu sahaja. Perutnya seakan muak untuk melihat makanan sekali pun. Hanya yang diperlukan ialah seteguk dua air sejuk bagi melegakan tekak yang kering serta hati yang masih panas.
Embun pagi tidak lagi sesejuk embun pagi lima bulan yang lalu. Pagi hari ini lebih panas. Lebih menyakitkan. Debaran bukan lagi debaran yang hangat kerana cinta, tetapi hangat kerana sakitnya hati yang tidak terhingga. Namun begitu, kenapa aku masih menantinya? Hati ini bagaikan digamit rasa bersalah. Mengapa aku masih merindui wajah yang tidak mengendahkan salam ku? Mengapa aku masih ingin menatap wajah yang hanya mampu menjeling membalas senyuman ku? Ah, Rizal bertambah bingung!
Rizal menoleh ke kanan. Gadis itu telah tiba. Duduk di hentian itu. Riak wajahnya seperti tiada apa yang pernah berlaku antara mereka berdua. Seakan tidak pernah pun Rizal memberi salam atau menegurnya semalam. Rizal merenung tajam wajah gadis itu. Gadis itu menghentakkan kakinya seperti biasa. Bagai ingin dipotong pula kaki yang mengenakan kasut berwarna hitam itu. Geram pula Rizal melihat gadis itu berkelakuan biasa. Tiba-tiba gadis itu tersenyum sendiri. Ah, ini memang menambhankah panas di hati! Tanpa disedari Rizal melakukan sesuatu yang dia sendiri tidak percaya dia akan melakukan perkara ini.
“Hey, apa yang awak senyumkan ha?” dengan nada yang tegas Rizal menegur. Bukan itu sahaja, dia juga menepuk kuat bahu gadis itu. Terkejut gadis itu. Merah padam wajahnya bila ditegur oleh Rizal. Bagaikan tidak percaya apa yang berlaku di hadapan matanya. Gadis itu membetulkan rambutnya. Buat pertama kali Rizal dapat melihat telinga gadis itu. Alangkah terkejutnya Rizal melihat gadis itu memakai earphone. Rizal melihat gadis itu menutup lagu yang dipasangnya menggunakan pemain MP3 di dalam poket seluarnya. Kini wajah Rizal yang mula merah padam. Barulah dia tahu mengapa gadis itu tidak mendengar suaranya semalam. Barulah dia faham makna hentakan kaki serta riak wajah yang berubah-ubah. Ah, malunya aku!
“Minta maaf ye. Saya tak tahu awak tengah dengar lagu. Saya…”
“Tak apa Rizal. Saya faham.” Gadis itu bersuara akhirnya. Buat pertama kali Rizal mendengar gadis di hentian itu berkata-kata. Eh, gadis itu menyebut namanya?
“Mana awak tahu nama saya Rizal?”
“Saya dah agak dah. Mesti awak tak kenal siapa saya lagikan. Ah, bukan tak kenal. Tapi tak ingat.” Gadis itu bermain teka-teki pula.
Puas Rizal memikirkannya. Wajah gadis itu diamati andai ia dapat memberi sebarang tanda atau petunjuk. Gadis itu membiarkan saja Rizal mencari jawapannya. Rizal seperti dapat merasakan sesuatu pabila melihat gadis itu dari dekat begini. Bagai pernah dilihat wajah ini. Kenapa Rizal masih tidak dapat pastikan siapakah gadis ini? Kali ini Rizal memberanikan diri merenung mata gadis yang berada di hadapannya. Ya, mata ini pernah ku lihat satu ketika dahulu! Mata kecil dan tenang ini pernah ditatapnya sebelum ini. Adakah mata ini yang pernah sering aku jadikan sembap kerana tangisan yang mengalir disebabkan usikan ku?
“AINA?” Rizal kembali mengingati masa lalunya. Gadis itu mengangguk. “Awak Aina? Macam tak percaya je!”
“Ya, saya Aina! Dah nak dekat lima tahun awak tak ada dekat sini, manalah awak nak ingat muka saya.”
“Macam mana awak boleh kenal saya?”
“Nisa yang beritahu saya. Dia kata ada kawan lama masa sekolah rendah dulu sekelas dengan dia. Dia yang tunjuk gambar awak. Tak sangka pula awak biasa tunggu bas dekat sini.”
“Awak memang tinggal dekat sini ke? Awak selalu ke mana tunggu bas di sini?”
Aina menjelaskan yang keluarganya baru sahaja berpindah ke kawasan ini dua tahun yang lalu. Aina juga tidak pernah mengetahui Rizal tinggal di kawasan yang sama. Dia kini berkerja sepenuh masa di The Store. Ibu bapanya mempunyai masalah kewangan kerana tanggungan yang ramai. Aina mengambil keputusan untuk mengumpul wang dahulu sebelum kembali menyambung pembelajarannya.
“Awak tak risau sambung belajar lambat?” Rizal bertanya. Mereka berdua telah pun berada di dalam bas. Kini, mereka berdua duduk bersebelahan!
“Nak buat macam mana. Saya redha jelah. Kenalah usaha lebih sikit. Lagipun Nisa banyak tolong saya kumpul duit. Dia carikan pertandingan yang saya boleh sertai bagi memperolehi wang tambahan. Hari tu, dia ada dapatkan borang pertandingan menulis esei Kebangsaan. Dia memang banyak beri semangat pada saya. Sejak dulu lagi.” Aina bercerita panjang.
Bas telah pun berhenti di destinasi Rizal. Ah, kacau daun sahaja! Rizal mengucapkan selamat tinggal kepada Aina. Aina membalasnya dengan satu senyuman yang cukup manis. Hai, bagaikan tidak percaya perkara ini terjadi! Benarakh ia telah terjadi? Gadis di hentian itu adalah gadis yang selama ini kukenali tapi tidak kusedari. Rizal mengeluh panjang. Mengeluh kegembiraan!
Sambil berjalan menuju ke sekolah, terlintas sesuatu yang baru disedarinya sejak dia berbual dengan Aina sebentar tadi. Aina kenal Nisa? Bagaimana? Ah, sekali lagi Rizal terlupa yang Nisa pernah bersekolah disekolah rendah yang sama dengan Rizal. Patutlah dia agak rapat dengan Nisa. Rapat dengan Nisa? Tidak! Benarkah apa yang difikirkan ini? Mungkinkah jawapan dan kepastian yang Rizal perlukan dari Nisa kini telah terlerai?
AINA! Ainalah pengirim kad-kad itu. Iya, kiriman yang dimaksudkan bukanlah kiriman barang atau sebagainya. Tapi salam yang disampaikan melalui adik sepupunya semasa mereka bertemu di The Store. Jawapan kepada masa lalu telah terungkap. Benar! Inilah masa lalu yang cuba disampaikan oleh Nisa. Ah, Nisa, aku dah dapat jawapannya! Kau tak boleh berahsia dengan aku lagi! Rizal merasakan satu perasaan yang puas dan gembira dalam hatinya.
Bagaikan tidak percaya kaitan yang wujud selama ini. Aina, satu ketika dulu menjadi mangsa usikan Rizal kini bertemu kembali menjadi gadis yang dinantikan menghiasi pagi Rizal. Gadis yang muncul dalam mimpi Rizal adalah gadis yang selama ini jugalah yang menjadi peminat misterinya. Semuanya bagaikan mimpi. Mimpi yang pasti tidak ingin Rizal akhirinya.

0 comments: