when you remember me

3:22 PM Aina Mastura 2 Comments

“Pada saat ini, aku terfikirkan kau. Di mana kau sekarang? Apa khabar kau? Masihkah kau ingat pada aku...” fikir Nik di dalam hatinya. Kelu lesu Nik, tidak bermaya duduk di kerusi taman yang sering dikunjunginya semasa berada di alam pembelajarannya di universiti. Taman ini yang sering menjadi tempat jejaka berusia 30-an ini “melepak” satu ketika dahulu.
“Rindunya aku pada tempat ni...” Nik memerhatikan sekeliling. Berdebar hatinya mengenang kembali memori taman ini. Lebih berdebar mengenangkan dengan siapa selalunya Nik bersama berjalan, menghabiskan masa bersama belajar di taman ini. Langkah kecil gadis itu masih jelas dalam ingatan Nik. “Aku rindu kau...Liza”
Nik tertunduk, debaran itu bertukar sayu, bercampur aduk dengan rasa sedih dan bersalah. Bersalah pada gadis bernama Liza, gadis yang pernah satu ketika dahulu menjadi seseorang yang sangat rapat dalam hidupnya. Nik menutup wajahnya dengan kedua tapak tangannya, bajunya bergerak, seakan teresak-esak. Nik mulai menangis. Tanpa Nik sedari, seseorang sedang memerhatikan tingkahnya di taman itu.


Perkenalan Liza dan Nik bermula sejak mereka betemu dalam kelas pertama semasa di universiti. Mereka berdua merupakan rakan sekelas dan rakan baik sepanjang pembelajaran mereka di universiti. Semua tahu Liza dan Nik memang rapat, dan seakan sukar dipisahkan. Nak cari Nik, cari Liza. Kalau tak jumpa Liza, tanya Nik. Pada awalnya mereka memang sekadar teman yang rapat, tetapi, apabila berada di semester lima, Nik menyatakan hasrat untuk menjadikan Liza lebih dari teman. Semua sudah menjangkakan pasangan sahabat ini pasti akan bertukar menjadi sepasang kekasih juga.
Berita pertukaran status Liza dan Nik menjadi hebahan ramai. Semua menceritakan tentang pasangan ini mengalahkan khabar angin mengenai artis. Berita hangat ini tersebar dengan laju semasa mereka semua berada di semester lima, di mana masing-masing sedang menjalani praktikal atau lathan amali di organisasi tertentu. Rakan-rakan meluahkan rasa tidak sabar ingin melihat sendiri di depan maa mereka sendiri bagaimana Liza dan Nik bercinta apabila tiba semester akhir nanti. Kemunculan mereka bagai dinanti-nanti.
Namun begitu, semua ibarat terdiam apabila tiba semester 6, hanya LIza yang kelihatan di dalam kelas. Liza seorang diri, tiada Nik. Semua tertanya, apa yang terjadi pada Nik. Bila ditanyakan pada Liza, Liza berlagak seperti tidak tahu apa-apa. Namun riak wajah Liza jelas seperti sayu dan ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Akhirnya terbuka juga cerita mengenai Nik berhenti belajar akibat mendapat peluang pekerjaan di syarikat tempat Nik menjalani latihan praktikal. Nik ditawarkan gaji yang berpatutan dan jawatan yang diinginkan selama ini. Hanya itu sahaja khabar yang didengar. Bila ada yang cuba mendapatkan pengesahan dari Liza, Liza hanya menjawab, “ye kut”, atau pun, “Liza pun tak pastilah”. Nadanya bersahaja, tapi masih tersembunyi. Masih terdapat cerita disebalik itu yang masih diselindung.
Liza hanya mampu tersenyum menjawab segala macam pertanyaan yang diajukan kepadanya. Sememangnya Liza tidak mahu menceritakan kebenarannya. Terlalu pedih untuk ditahan, terlalu sakit untuk diingati. Selepas peristiwa itu, Liza hanya bersembunyi, berselindung disebalik kekecewaannya terhadap Nik yang telah berpaling tadah.
Ya, Nik berpaling atas nama kemewahan dan rupa. Wanita yang dikenalinya di organisasi tempat Nik menjalani praktikal itu telah mengubah segalanya. Liza sendiri tidak menafikan, Sarah, wanita yang berjaya merampas segala kebahagiaan yang Liza harapkan selama ini sememangnya wanita yang bergaya dan jauh lebih cantik dari Liza. Sarah juga adalah anak bongsu kepada pemilik organisasi tersebut. Dari awal, Sarah telah menunjukkan minatnya pada Nik. Sehingga hampir setiap menelefon dan mengajaknya keluar bersama. Walaupun usia Sarah empat tahun lebih tua daripada Nik, tapi rupanya yang kelihatan muda itu tidak menggangu penglihatan orang untuk melihat Nik dan Sarah seperti pasangan sebaya dan seusia. Liza juga telah menghidu perasaan minat yang disembunyikan Nik dari awal lagi semasa menceritakan mengenai Sarah kepada Liza. Teruja sahaja Nik seperti baru berkenalan dengan aktres Hollywood gayanya.
Liza hanya berdiam diri pada awalnya. Yalah, hubungan Liza dan Nik yang lebih dari teman itu baru sahaja dipupuk. Liza tidak berani bertanya apa-apa. Barangkali Nik masih belum membiasakan diri hubungan persahabatan itu bertukar cinta. Liza hanya memerhati, dan itulah kesilapan terbesar yang dilakukannya. Apabila Liza berlagak seperti tiada apa yang berlaku, dan membiarkan Nik bebas melakukan apa sahaja, Nik mulai tidak menyembunyikan rasa minatnya pada Sarah.
Pada satu hari, Nik datang sendiri bertemu dengan Liza. Ketika itu adalah pada hari terakhir sepatutnya mereka menamatkan latihan amali mereka. Mereka berdua bertemu di taman hadapan universiti. Liza menunggu Nik, katanya berjanji untuk menghantar laporan bersama kepada pensyarah. Nik datang dengan tangan kosong, Liza mulai rasa tidak senang duduk. Sebenarnya sudah hampir seminggu Nik tidak menghubunginya, dan selama tiga bulan ini, boleh dikira dengan jari beberapa kali mereka bertemu dan berbual atau berbalas sms. Nik berjalan terus ke arah Liza, dan tanpa rasa bersalah, dengan wajah yang riak dan nada yang tegas, memberitahu Liza yang dia akan berhenti belajar kerana mendapat tawaran kerja tetap di syarikat ayah Sarah.
“Aku nak berhenti belajar. Sarah dah tolong aku dapatkan kerja dekat situ. Bukan senang nak dapat kerja sekarang. Aku takkan lepaskan peluang macam ni. Keluarga aku pun bukannya keluarga yang senang. Ini sajalah harapan aku untuk ringankan beban keluarga.”
Terkedu Liza, tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Hendak disokong, sukar. Hendak membantah, dirinya sendiri tidak tahu mana haknya untuk menghalang. Liza hanya berdiam diri. Menunggu apa yang bakal dikatakan oleh Nik lagi. Hatinya menjangkakan sesuatu yang kurang enak untuk didengar.
Nik memandang Liza, lain pula bagi Nik, dia mengharapkan Liza menyatakan sesuatu. Kedua mereka berdiri di situ. Liza menunggu, Nik menanti. Sekian lama, Nik mengeluh akhirnya.
“Kalau tak ada apa-apa lagi, aku pergi dulu. Kirim salamlah pada rakan-rakan kita ye.”
Nik berjalan, membelakangi Liza.
“Nik...” akhirnya Liza bersuara. Nik menoleh memandang. “Bagaimana dengan kita?” sayu nada Liza bertanya. Nik tertunduk. Riaknya hilang seketika, perasaan bersalah mulai  dirasakan. Liza berjalan menghampiri Nik, sekali lagi, nadanya yang lembut bertanya, “Bagaimana dengan aku, Nik?”.  Nik memandang Liza, dengan membuang rasa bersalah itu sejauh yang mungkin, Nik bersuara riak kembali.
“Anggaplah tiada apa pernah terjadi antara kita. Maafkan aku Liza. Jujur aku katakan, Sarah kurang senang lihat kita berdua begitu rapat. Sarah tu kuat cemburu. Lagipun, aku yakin Sarah lah orangnya yang selama ni aku perlukan. Dan aku harap, kita takkan berjumpa lagi...”
Liza hanya tersenyum. Menunjukkan rasa puas hati mendengar penjelasan Nik. Walaupun jauh di sudut hatinya, tercalar luka melihat Nik seperti tiada rasa simpati pada dirinya. Biar pun perkataan maaf itu terkeluar dari mulutnya, tapi tiada rasa ikhlas yang dirasa. Kali ini Liza yang berlalu, berjalan membelakangkan Nik, meninggalkan Nik seorang diri di taman itu.


Semua itu masih segar dalam ingatan Nik. Kejahilannya berpaling pada satu-satunya gadis yang begitu baik dan benar-benar menyayanginya, menjadi satu sesalan yang paling besar dalam hidupnya. Mengalir air matanya mengenangkan kebodohan itu. Sejak dari hari itu, Nik sendiri tidak pernah melihat Liza di mana-mana. Walaupun Nik sendiri yang mahu menjauhkan diri dari Liza pada mulanya, perlahan-lahan Nik kembali mencari Liza. Namun begitu, Nik dengan egonya, berpura-pura tidak mengambil berat mengenai Liza di hadapan semua orang.
Sehinggalah pada hari ini, egonya tidak tertahan lagi. Nik berlari keluar meninggalkan rumahnya yang didiami bersama Sarah. Pertengkaran yang paling hebat berlaku antara suami isteri ini. Hari ini dalam sejarah perkahwinan mereka, Nik meluahkan rasanya diperlakukan seperti kuli dan tidak wujud sejak Sarah mengenali seorang jejaka baru yang diperkenalkan oleh ayahnya. Beliau merupakan penolong pengurus besar di sebuah syarikat yang akan melabur pada syarikat ayah Sarah. Sejak lelaki itu mendapat tempat yang penting dalam syarikat ayahnya, Sarah mulai melayan lelaki itu seperti diagungkannya hingga lupa yang dia telah bersuami.
Ya, setelah beberapa lama menahan sabar, usia perkahwinan yang baru mencecah tiga tahun itu, runtuh akibat dibutakan oleh kemewahan dan rupa.
“Eh, kau jangan nak kurang ajar dengan aku ye. Ingat sikit, kau dapat kerja kat syarikat tu sebab aku tau. Kalau aku tak pujuk ayah aku bagi kau kerja, kau ingat kau boleh hidup senang macam ni. Kalau kau dah rasa macam dah tak berguna hidup dalam rumah ni, kau boleh berambus. Oh, sekarang kau kata kau nak ceraikan akulah. Hey, Nik! Kau ingat aku ada rugi apa-apa kalau kau tinggalkan aku? Kalau kau rasa kau hidup tanpa aku pun kau boleh senang, pergilah. Aku pun memang dah tak ada hati dengan kau!”
Saat Sarah mengeluarkan kata-kata hinaan itu kepada Nik, di dalam fikirannya terus terbayang Liza. Langkahnya berlari keluar meninggalkan rumah itu, diiringi setiap kenangan manisnya bersama gadis itu. Perjalannya yang tiada arah itu, hanya memikirkan Liza. Berharap Liza ada bersama dengannya sekarang. Nik terbayangkan Liza, sehinggalah terbawa ke taman itu.
“Liza...aku bersalah Liza. Apa yang pernah aku lakukan pada kau, aku dibalas berkali ganda Liza. Maafkan aku Liza.” Teresak-esak Nik meluahkan rasa bersalahnya dengan kuat.
Orang yang memerhatikan Nik dari jauh tadi, terus berjalan menuju ke arah Nik. Hati lembutnya itu tidak sampai hati melihat Nik menangis begitu seorang diri. Orang itu menegur Nik, memberikannya sapu tangan untuk mengesat air matanya. Nik mendongak, melihat gadis yang berdiri di depan matanya itu. Ya, orang itu adalah gadis. Manis senyumanya, dengan pandangan mata yang menenangkan hati, wajah inilah yang seharusnya Nik hargai sejak dulu lagi.
Perlahan tangan Nik menyambut sapu tangan itu, lalu bersuara, “ Liza...macam mana kau boleh ada dekat sini?”
“Dah lama Nik. Aku dah lama perhatikan kau.”
Rindunya Nik mendengar suara lembut itu. Kali terakhir suara ini didengari adalah saat Nik mengecewakannya. Terdapat beribu pertanyaan dan soalan yang timbul di fikiran Nik, tapi rasa bersyukur melihat Liza didepan matanya, sudah cukup membuat dirinya menghargai masa yang ada bersama dengan Liza.
“Liza, aku cari kau. Selama ni aku tak pernah berhenti cari kau. Tapi tak jumpa. Mana kau pergi?”
“Aku selalu ada Nik. Aku selalu ada dengan kau. Kau je yang tak pernah tahu.”
“Mana kau tahu aku ada dekat sini, LIza?”
“Kan aku kata, aku memang perhatikan kau dah lama. Sejak dari dulu lagi, Nik. Aku tahu semuanya yang berlaku dalam hidup kau.”
“Kenapa Liza? Aku dah berdosa pada kau Liza. Tapi kenapa kau masih lagi ambil berat tentang aku?”
“Kau yang tinggalkan aku Nik, bukan aku yang tinggalkan kau...”
“Tapi kau yang menghilang, Liza.”
“Aku tak menghilang Nik. Sejak dari hari terakhir kita berjumpa tu, aku memang sengaja membiarkan kau tak dapat jumpa aku. Sebab aku tak nak kau tahu yang aku masih ambil berat tentang kau. Lagipun, kau sendiri yang kata, Sarah tak senang dengan aku.”
“Kalau betul begitu, tentu kau tahu apa yang berlaku antara aku dengan Sarah kan?”
“Ya Nik. Aku tahu. Walaupun tidak semuanya, cukuplah aku katakan aku kenal kau Nik. Aku boleh tahu bila kau sedih, bila kau runsing, dan bila kau menyembunyikan sesuatu. Bila kau menangis di sini, aku boleh agak apa yang terjadi.”
“Aku dah dapat balasannya. Balasan atas apa yang aku buat pada kau dulu, Liza.”
Liza hanya tersenyum kecil. Bukanlah hatinya mahu merasa gembira dengan kata penyesalan dari Nik, tapi sekadar terasa puas melihat Nik sedar akan kesilapannya. Liza berasa bersyukur melihat Nik akhirnya kembali menyedari kesalahan yang tidak pernah disedarinya. Liza duduk di situ mendengar segala luahan hati Nik, seperti saat dulu-dulu. Setelah lama, Liza bangun dari tempat duduk taman itu, Nik hanya memerhatikan hairan.
“Aku beransur dulu. Hari pun dah lewat petang. Kau pun patut pulang. Selesaikanlah secepat mungkin. Semua masalah tak akan selesai kalau kau lari darinya.”
“Liza...bila aku boleh jumpa kau lagi?”
Liza tersenyum lagi mendengar pertanyaan Nik. Liza berjalan meninggalkan Nik.
“Liza, janganlah buat aku macam ni. Aku betul-betul perlukan kau sekarang Liza. Aku dah menyesal. Aku nak saat kita macam dulu lagi. Maafkan aku Liza...maafkan aku...”
Tersentuh hati LIza mendengar kata maaf dari mulut Nik. Kali ini, terasa ikhlasnya hingga ke hati. Sedih dan simpati dapat dirasakan dari kata maaf itu.Terasa beban di dalam hatinya, hilang. Liza berasa lebih lega pada saat ini.
“Aku harap kita takkan berjumpa lagi...” tegas Liza. Terkedu Nik mendengarnya. Liza kembali berjalan meninggalkan Nik. Nik mengejarnya. Menepikan segala ego yang disimpan selama ini. Nik berdiri di hadapan Liza, mengharapkan kepastian dan merayu agar Liza kembali bersamanya.
“Kenapa Liza. Kau kata selama ini kau perhatikan aku, kau ekori aku. Kau ambil tahu hal hidup aku. Kau takut nak berdepan dengan aku. Kenapa sekarang kita dah diberikan peluang, kau nak pergi Liza. Aku rindu saat kita dulu. Aku nak kita macam dulu balik. Aku menyesal Liza. Aku menyesal!”
“Nik..selama aku mengambil berat tentang kau, bukanlah aku takut untuk bertentang mata dengan kau. Tapi aku risau. Aku risau perasaan sayang itu bertukar dendam dan benci. Aku dah lama maafkan kau Nik, tapi jujurnya, aku tak boleh lupakan apa yang kau buat pada aku. Aku cari kau, sebab aku masih tak boleh terima kenyataan yang aku tak boleh hidup tanpa kau.”
“Jadi kenapa kau nak hidup tanpa aku sekarang Liza? Kita boleh mulakan hidup baru.” Nik merayu lagi.
“Nik, memang aku sayangkan kau lagi. Saat kau ucapkan kata maaf dan menyesal tadi, aku sedar sesuatu. Aku sedar, yang aku rasa puas hati mendengarnya. Dan saat itulah aku sedar, yang tak mungkin kita boleh bersama kembali. Sebab, walau kau benar-benar menyesal, dan aku masih lagi menyimpan perasaan terhadap kau, tapi kita tak boleh lari dari kenyataan yang aku takkan pernah lupakan kenangan pahit yang jadi antara kita. Nik, aku syukur kau dah menyesal. Tapi, hubungan kita tak mungkin terjadi. Aku tak nak hidup dalam satu hubungan yang aku akan takut kemungkinan yang buruk akan berlaku lagi. Dan aku tak nak memandang kau, dan mengingati bahawa kau pernah melukai aku.”
Nik tertunduk. Sekali lagi air mata lelakinya tidak tertahan. Benar dia menyesal, tapi tiada gunanya. Nik kenal dengan Liza. Pendiriannya kuat. Sukar diubah apa yang telah ditetapkannya.
“Maafkan aku Nik. Aku doakan kau berjaya harungi semua ini dengan tabah. Dan aku harap, kau akan temui insan yang benar-benar menyayangi kau, lebih dari apa yang aku pernah beri. Aku pergi dulu Nik.”
Tiada apa lagi yang mampu dikatakan Nik. Dari membiarkan Liza berlalu dari situ meninggalkannya. Sama seperti kali terakhir mereka bertemu. Liza berjalan membiarkan Nik seorang diri di taman itu setelah dikecewakan hati Liza. Kini, LIza berjalan membiarkan Nik seorang diri di taman itu dengan hati Nik pula telah dikecewakan. Nik sedar, inilah balasannya kerana khayal melayan kemewahan dan rupa. Nik membiarkan dirinya buta, lemas hanyut dibuai keindahan dunia. Hingga Nik terlupa, bahawa adalah penting untuk menghargai apa yang ada, dan belajar berusaha untuk menjaganya.
Kini Liza pergi selamanya, dan tidak lagi muncul dalam hidup Nik. Namun begitu, Liza tidak pernah hilang dari fikiran Nik, dan Nik tidak pernah hilang dari pandangan mata Liza.



2 comments:

  1. fewittt sedihnyaaa cerpen ni. Jiwang jgk aina haha XP

    ReplyDelete
    Replies
    1. jiwang karat kan? hehehe...;p

      terima kasih daun keladi kerana sudi membaca

      Delete