Rentak Diam - Sinopsis

6:50 PM Aina Mastura 0 Comments


SINOPSIS - Rentak Diam


Kampung Melang Sari merupakan sebuah kampung yang begitu aman dan juga terkenal dengan penduduk berbilang kaum dan taraf. Kebanyakan mereka merupakan golongan bawahan dan hanya segelintir dari penduduk kampung merupakan golongan bangsawan. Terdapat sekumpulan pemuda yang bertanggungjawab menjaga keselamatan kampung daripada ancaman orang luar. Kumpulan pemuda ini diketuai oleh Damar, berusia 26 tahun dan terkenal dengan sikapnya yang periang, peramah dan suka membantu. Damar juga merupakan lelaki idaman kebanyakan gadis di Kampung Melang Sari kerana perwatakannya yang menarik. Damar tidak tertarik kepada gadis kampung kerana Damar mengimpikan untuk hidup mewah dan ingin berkahwin dengan anak bangsawan dari kampung berdekatan iaitu Kampung Kayangan yang dikatakan memiliki rupa paras yang cantik serta mewarisi harta kedua ibu bapanya. Bukan Damar sahaja yang menjadi idaman, tetapi Indera, anak ketua kampung yang berketurunan bangsawan juga berjaya mencuri hati setiap gadis dengan wajah tampannya. Pada suatu hari, Kampung Melang Sari menerima kehadiran Jauhari dan seorang gadis bisu, Citra yang berniat untuk menjadi penghibur di kampung tersebut. Jauhari merupakan pemain biola dan Citra merupakan seorang penari. Ramai yang tertarik dengan tarian Citra yang diiringi alunan muzik Jauhari. Citra memiliki rupa yang sangat cantik dan ini membuatkan Indera menaruh perasaan kepada Citra. Indera menghadiri setiap malam di pekan kampung bagi menyaksikan Citra menari. Citra pula menyimpan perasaan kepada Damar yang melayannya dengan baik dengan memberi bantuan tempat tinggal dan makanan. Namun begitu, Damar tidak mencintai Citra kerana tidak tertarik dengan kedudukan Citra sebagai penghibur jalanan yang tidak berharta. Pada masa yang sama, tiada siapa yang mengetahui bahawa Citra dan Jauhari merupakan anak golongan bangsawan dari Kampung Kayangan. Citra dan Jauhari bersahabat baik sejak kecil lagi. Jauhari membantu Citra yang ingin mencari calon suami yang sesuai untuk dirinya. Citra merasakan pemuda yang berasal dari golongan miskin berhati mulia dan akan mencintainya kerana dirinya dan bukan kerana harta. Jauhari membantu Citra dan mereka menyamar menjadi pemuzik dan penari jalanan kerana sememangnya mereka adalah penghibur di kalangan keluarga mereka. Indera berusaha mengambil hati Citra walaupun keluarga Indera tidak merestui pilihan Indera untuk memilih gadis yang tidak mempunyai asal usul yang jelas serta tidak setaraf dengan mereka. Saat Citra hampir menerima Indera, Damar tiba-tiba sahaja meluahkan perasaannya untuk menerima cinta Citra. Citra menjadi berbelah bagi untuk memilih antara kedua pemuda tersebut. Perebutan ini menimbulkan pergaduhan antara Indera dan Damar sehingga berlakunya kekecohan di Kampung Melang Sari. Pertengkaran antara Indera dan Damar diselesaikan oleh Jauhari yang membuka cerita sebenar. Jauhari mendapat berita yang Damar telah mengupah orang untuk menyiasat siapakah sebenarnya Citra dengan menghantar gambarnya di setiap ketua pemuda kampung yang berhampiran. Damar telah mengetahui yang Citra adalah pewaris tunggal keluarga bangsawan Kampung Kayangan dan oleh sebab itulah Damar berpura-pura menerima cinta Citra. Citra mengambil keputusan untuk tidak memilih antara Indera dan Damar kerana baginya Indera hanya mencintainya kerana rupa paras manakala Damar mencintainya kerana harta.  Akhirnya Citra memilih untuk menerima Jauhari yang sememangnya setaraf dengan dirinya serta menerima kekurangannya sejak mereka berkenalan. 

p/s: Credit to Khairul Anam, Siti Zulaiha, Fadzly Fairuz. Ini hasil karya bersama semasa Diploma Semester 6. Untuk dikongsi bersama~

0 comments: