dialog pada satu hari

1:55 PM Aina Mastura 0 Comments

Lokasi : Surau Mall AAA

Waktu : Sekitar beberapa minit selepas Azan Zohor

Situasi : Tiga orang wanita berkumpul di satu sudut dalam surau tersebut. Masuk seorang wanita ingin menunaikan Solat Zohor. Kedengaran tiga orang wanita itu rancak berbual. Mengata orang itu, mengata orang ini, kemudian mengata pula orang lain. Anak-anaknya dibiarkan berlari-lari di dalam surau. Barangkali menanti ahli keluarga lain, atau mungkin rakan selesai solat. Mereka berbual, dan terus berbual. Yang jelas dan nyata adalah perbualan mengenai rakan sekerja yang baru membeli barang baru lah, berboyfriend baru, yang tidak tahu buat kerja, dan seadanya.

Wanita yang baru masuk tadi, sentiasa memegang beg tangannya dan ketika mengambil wuduk, beliau rela membiarkan begnya sedikit basah terkena air. Kemudian semasa mengambil sejadah dan telekung, wanita itu masih tidak melepaskan beg tangannya. Semasa bersembahyang juga, beg tangannya diletak dekat-dekat dengan kakinya. Tiga wanita yang rancak berbual tadi mula bertukar fokus ke arah wanita beg tangan itu.

Mereka fikir, apalah yang sayang sangat dengan beg tangan tu. bukannya mahal pun. jenama cikai pun. entah2, jenama pun tak ada. mereka mula ketawa2 kecil melihat gelagat wanita dengan beg tangan itu. Sudah solat, wanita itu membawa begtangan ke cermin, dan mula menyarung tudung. Beg tangan itu diletakkan atas riba, seperti takut diambil orang.

Salah seorang dari tiga wanita itu mula bersuara,

Wanita A : Dik, tak yahlah gendong beg tangan tu sangat. Ni kan surau. takkan ada orang berani curinya.

Wanita Beg Tangn : Kenapa tak ada orang berani?

Wanita A : Yelah. sinikan tempat beribadat.

Wanita Beg Tangan : Akak dari tadi saya dengar tak berhenti mengumpat, tak takut pula sini tempat beribadat. Kalau akak berani mengumpat, takkan tak ada orang berani mencuri dalam surau pula.

Aku yang duduk di sudut pintu keluar, sudah selesai mahu keluar dari surau. Sedikit geli hati melihat situasi sekejap tadi. Aku tak sempat mendengar sepenuhnya apa yang berlaku selepas itu. Tapi cukup puas hati tiga wanita itu ditegur sebegitu. Surau bukan tempat berbual kosong, apa tah lagi mengata orang. Ada hati pula tu nak menegur orang. Salah sendiri tidak sedar. Pengajaran untuk semua, terutama untuk diri sendiri.

Sekian...

0 comments: