cerita rakyat

9:06 PM Aina Mastura 0 Comments

Assalamualaikum

Okie, entry kali ini sekadar berkongsi maklumat. Entry ini saya ambil daripada salah satu kerja kursus semasa saya berada di Diploma satu ketika dahulu. Sedang "godek" laptop, maka terjumpa kertas kerja ini. Kertas kerja ini adalah mengenai Cerita Rakyat dan Filem. Selamat berkongsi bersama. ^_^

DEFINISI CERITA RAKYAT

Menurut Kamus Dewan Edisi Baru Cetakan Kelima terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 1994, cerita bermaksud kisah, riwayat, atau tuturan mengenai sesuatu peristiwa. Ia juga bermaksud karangan atau lakonan yang mengisahkan peristiwa atau kejadian baik rekaan atau betul-betul terjadi. Rakyat pula bermaksud seluruh penduduk sebuah negara atau pun orang kebanyakan, orang ramai, orang biasa dan juga bukan keturunan raja. Kesimpulannya, cerita rakyat bermaksud kisah yang diceritakan dalam bentuk lisan, karangan atau lakonan mengenai golongan rakyat. Terdapat juga kenyataan yang tertulis di dalam Kamus Dewan ini mengatakan cerita rakyat merupakan cerita yang diceritakan untuk orang biasa. 
Istilah cerita rakyat atau pun dalam Bahasa Inggerisnya adalah ‘folklore’ itu mula diperkenalkan pada tahun 1846. Dan Ben-Amos mengatakan, “Folklore is artistic communication in small groups.”. Komunikasi artistik terbahagi kepada 3 kategori utama iaitu:
(i) Sastera rakyat.
(ii) Budaya rakyat.
(iii) Adat rakyat.
Maksudnya, cerita rakyat juga boleh didefinisikan sebagai komunikasi mengenai segala aspek kehidupan tentang rakyat.
Bagi pengkaji cerita rakyat, Ben Botkin (1938) yang berasal daripada New York, beliau meletakkan definisi cerita rakyat sebagai satu karya tradisi dalam satu komuniti dan diwariskan turun temurun sebagai satu budaya mereka. Cerita rakyat ini merupakan satu identiti bagi satu komuniti masyarakat itu sendiri.

KONSEP CERITA RAKYAT

Cerita Rakyat merupakan salah sebuah karya kesusasteraan rakyat yang mempunyai kegunaan bersama sesuatu masyarakat. Contohnya, ia memberi pengajaran dan teladan kepada orang yang mendengar atau membaca cerita rakyat ini. Cerita rakyat mempunyai sifat-sifat tempatan yang tebal. Maksudnya, cerita rakyat hanya berkisarkan tentang budaya dan kehidupan masyarakat itu sahaja dan tidak akan dicampur adukkan dengan unsur atau pengaruh luar. Jika ada, ia hanyalah sebagai watak tambahan atau penghias cerita. Ruth Benedict menganggap cerita rakyat adalah cermin atau gambaran ethnografi budaya puak dan juga dijadikan alat untuk melepaskan sesuatu tegangan atau perasaan yang terbuku. Bagi cerita jenaka rakyat Melayu, peranannya juga ialah sebagai hiburan kepada masyarakat. 
Lazimnya cerita rakyat ini dituturkan secara lisan dan merupakan tradisi bersastera pada zaman dahulu kerana ketika itu tidak terdapatnya sistem tulisan dalam satu kelompok masyarakat. Dalam kebanyakan masyarakat, termasuklah dikalangan orang Melayu, sastera rakyat terus hidup dalam satu bahagian masyarakat sebagai tradisi lisan yang selari dengan bahagian masyarakat yang urusan hidupnya dilakukan menerusi sistem tulisan. Jadi, cerita rakyat boleh diklasifikasikan sebagai satu bentuk karya lisan yang terkenal. 
Cerita rakyat haruslah diteliti daripada sudut tema dan kita juga tidak boleh melepaskan persoalan yang cuba disampaikan. Tema sesuatu cerita rakyat tidak lari antara satu sama lain, terutama cerita jenaka rakyat. Seringkali ia menggambarkan kebodohan watak utama atau pun lurus bendul dan pemalas. Selalunya persoalan yang diketengahkan dalam cerita rakyat akan lebih menarik sekiranya persoalan itu berbentuk umum. Contohnya, persoalan tentang kehidupan masyarakat pedalaman, cinta, dan kekeluargaan seperti yang dipaparkan dalam beberapa cerita rakyat seperti cerita Pak Belalang yang memperlihatkan kehidupan Pak Belalang dengan anaknya, Belalang.
Cerita rakyat terdapat dalam pelbagai versi kerana ia telah ditokok tambah jalan ceritanya. Menurut Mohd. Taib Osman (1988) dalam buku Bunga Rampai Kebudayaan Melayu, “Dalam kesusasteraan rakyat terlihat pemupukan unsur-unsur kebudayaan yang baharu kepada yang telah sedia ada. Cerita-cerita lisan itu diturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang lebih muda, dan ketika cerita-cerita itu diturunkanlah pemupukan itu berlaku.” Oleh sebab inilah terjadinya cerita rakyat terdapat dalam pelbagai versi kerana pembaharuan yang dilakukan pada cerita itu sendiri.  Namun begitu, isi kandungan utama bagi cerita rakyat itu tetap sama. 


okie, sekian. Nanti kalau ada masa, saya akan kongsi lagi kertas kerja yang lain. haha...

^_^

"Walau begitu, hatinya jujur, kian lama kian masyhur, hingga Sultan sangat percaya, akhirnya jadi Menantu Raja"  P.Ramlee - Nujum Pak Belalang

0 comments: