pendeknya cerita ini : dongeng dalam realiti

10:16 PM Aina Mastura 0 Comments


“Tidak! Kami tidak setuju!”
“Bawa bertenang. Keputusan telah diberikan!”
“Tidak! Kami mahu kes ini dibicarakan kembali!”
“Juri telah sebulat suara. Dongeng bukan realiti!”
“Dongeng adalah realiti!”
Begitulah riuhnya suasana bingit suara-suara yang setuju dan tidak setuju di dalam mahkamah milik Kota Impian ini. Semua watak-watak dalam cerita dongeng yang sering diperdengarkan berkumpul bagi mendengar perbicaraan berkenaan permintaan mahukan dongeng diiktiraf sebagai satu kisah realiti dalam dunia manusia, dan bukan dongeng lagi. Permintaan ini dilakukan oleh dua orang puteri yang menjadi tunjang utama dalam cerita dongeng terkenal. Dua orang puteri ini ialah Cindarella dan Snow White. Mereka memohon dari pihak mahkamah dan mahukan dongeng tidak lagi disebut sebagai cerita angan-angan, fantasi dan dikatakan sebagai “bukan realiti”. Dongeng itu realiti!
Ramai yang setuju dengan permohonan dua orang puteri itu. Memandangkan hati mereka yang mulia dan suka membantu, membuatkan mereka mendapat sokongan ramai. Namun begitu, pihak mahkamah mengambil keputusan tidak bersetuju dengan permohonan itu. Pihak mahkamah menetapkan bahawa realiti adalah realiti. Dongeng tetap dongeng! Pada mulanya, permohonan ini ditolak. Ditolak keras! Tiada sebarang pertimbangan mahu dilakukan. Namun begitu, apabila berita Cindarella dan Snow White menangis di pantai mengadu kepada Ariel, puteri ikan duyung yang cantik, kesemuanya berpakat untuk melakukan demonstrasi supaya permohonan dua orang puteri itu diterima. Akhirnya pihak mahkamah bersetuju mengadakan perbicaraan mengenai permohonan ini.
Perbicaraan telah ditetapkan. Hampir semua rakyat Kota Impian hadir untuk mendengar keputusannya. Berdebar-debar. Namun begitu, mereka yakin mereka akan menang. Sayang sekali, pihak mahkamah masih lagi dengan pendirian mereka bahawa dongeng tidak boleh diiktiraf menjadi realiti. Sekali lagi pemberontakan diadakan. Perbicaraan mahu diadakan buat kali kedua. Kali ini, lebih ramai yang mahu bersuara. Ramai yang mahu meluahkan apa yang terbuku di hati mereka selama ini. Tidak hanya membiarkan Cindarella dan Snow White sahaja yang bersuara, mereka mahu suara mereka kedengaran juga. Pihak mahkamah tidak mampu berbuat apa-apa. Juri-juri juga bersetuju untuk mempertimbangkan kembali permohonan mereka. Separuh dari bilangan juri adalah dari pihak dunia manusia. Untuk kali yang kedua, mereka mesti memikirkan keputusan yang seadilnya buat semua rakyat Kota Impian.
“Kita mulakan sekali lagi!” Suara Hakim yang disertai dengan bunyi ketukan 3 kali menandakan perbicaraan buat kali kedua akan dimulakan. Suasana riuh tadi tidak lagi kedengaran. Semua mahu mendengar kali ini. Mendengar dengan lebih teliti. Suara-suara memohon keadilan dalam hidup mereka. Perbicaraan dimulakan dengan peguam bela yang berada di pihak rakyat Kota Impian menyoal puteri berambut panjang, Rapunzel.
“Tuan puteri, boleh saya tahu mengapa tuan puteri bersetuju bahawa dongeng itu realiti? Mengapa perlu dongeng diiktiraf sebagai realiti dalam dunia manusia?”
  Rapunzel membetulkan beberapa helaian rambut yang menutup pandangan matanya dari melihat semua yang ada di dalam mahkamah itu. Sukar juga menjaga rambut yang sebegini panjang. Sebelum ini rambutnya pernah dipotong oleh ibu angkatnya yang kejam. Kini setelah berkahwin, suaminya, si putera yang tampan mahu rambutnya panjang kembali. Bahagia, tapi menderita sebelumnya.
“Bukankah itu realiti? Saya melihat dalam dunia manusia, segalanya. Setiap yang mendapat kebahagian akan menderita dahulu. Saya merasakan ketidakadilan apabila kami di Kota Impian dikatakan hidup dalam dunia dongeng atau dunia angan-angan. Tidakkah ramai yang tahu betapa seksanya hidup saya berdepan dengan ahli sihir yang kejam satu ketika dahulu?” Rapunzel mula menitiskan air matanya. Seperti tidak terluah apa yang mahu dikatakan lagi.
Melihatkan keadaan Rapunzel begitu, peguam bela mula berbicara, “Lihatlah tuan-tuan dan puan-puan. Betapa pedihnya hati seorang puteri yang dulu hanyalah seorang gadis yang dikurung di atas menara tinggi untuk kepentingan ahli sihir itu. Kekasihnya pula disumpah menjadi binatang. Keinginan hatinya dihalang. Sampaikah hati kamu semua mahu mengatakan bahawa kehidupan puteri ini adalah satu dongeng sahaja? Sampaikah hati kamu mahu mendengar pihak dari dunia manusia mengatakan penderitaan puteri ini hanyalah rekaan semata-mata?”
Semua yang berada dalam mahkamah telah bersorak menyebut “TIDAK!”. Suasana kembali riuh. Ramai yang menyokong kata-kata peguam bela tersebut. Peguam bela mengucapkan terima kasih lalu mengambil tempat duduknya. Kini tiba giliran pendakwa raya menyoal puteri tersebut. Keadaan menjadi dingin. Kedengaran suara halus yang mengeluarkan kata-kata keji menghina pendakwa raya itu. Pendakwa raya itu bangun menuju ke arah Rapunzel. Rapunzel seakan bersedia dengan apa jua soalan yang bakal diajukan kepada dirinya.
“Maafkan saya tuan puteri. Saya hanya menjalankan tugas. Jika soalan-soalan saya bakal menyakiti hati tuan puteri atau sesiapa sahaja yang ada di dalam mahkamah ini, sekali lagi, maafkan saya,” lembut suara pendakwa raya itu berkata-kata. Rapunzel hanya mengangguk tanda mengerti apa yang dikatakan oleh pendakwa raya. Barangkali Rapunzel mengerti bahawa pendakwa itu berat hati mahu menidakkan ketidakadilan yang terjadi kepada rakyat Kota Impian.
“Baiklah tuan puteri, saya mulakan soalan saya. Soalan pertama, adakah tuan puteri tahu mengenai kisah hidup Cindarella yang berjaya mengahwini seorang putera raja atas bantuan Pari-pari?” Rapunzel mengangguk. “Soalan kedua, adakah tuan puteri tahu mengenai kisah hidup Snow White yang dibunuh lalu hidup kembali hanya kerana kucupan seorang putera raja?” Rapunzel mengangguk juga. “Soalan ketiga, adakah benar tuan puteri tinggal bersama seorang ahli sihir yang kejam dan dikurung di atas menara tinggi selama beberapa tahun?” Rapunzel mengangguk, tapi kali ini dengan riak wajah yang agak suram.
Pendakwa raya mahu meneruskan soalan seterusnya. Dia menarik nafas dan menghembusnya bagi mendapatkan satu semangat agar dapat membuang rasa bersalah dalam hatinya. “Tahukah tuan puteri tahu bahawa dalam dunia manusia tidak wujudnya pari-pari?” Rapunzel mengangguk. “Tahukah tuan puteri dalam dunia manusia, tiada manusia yang hidup kembali?” Rapunzel mengangguk. “Tahukah juga tuan puteri bahawa ahli sihir yang kejam tidak wujud dalam dunia manusia sehingga mampu mengurung seorang gadis di dalam menara tertinggi selama beberapa tahun?” Rapunzel tunduk menangis.
Pendakwa raya meneruskan kata-katanya walaupun hampir ditenggelamkan dengan pelbagai suara yang memaki dan menentang dirinya. “Semua ini tidak wujud dalam dunia. Realiti yang kamu semua mahukan hanyalah dalam dunia Kota Impian. Kita adalah dunia yang berbeza. Dalam dunia manusia, kita hanyalah rekaan. Kita hanyalah satu pengajaran untuk manusia mengambil iktibar.”
“Manusia perlu tahu hidup kita bukan sekadar cerita!” Satu suara yang sangat kuat cuba melawan semua suara yang ada dalam mahkamah itu. Semua orang terdiam. Mereka pernah mendengar suara itu. Suara itulah yang menjadi penyebab kepada segala perbicaraan ini berlaku. Dialah yang menjadi idaman ramai Kota Impian dengan wajahnya yang seputih salju hingga menimbulkan rasa cemburu ibu tirinya. Dialah puteri salju, Snow White.
Perlahan Snow White bangun dari tempat duduknya, dia berdiri dan mula bersuara kembali, “Dunia manusia perlu tahu bahawa dunia Kota Impian bukan dunia angan-angan. Bukan dunia rekaan. Dunia ini benar. Dunia ini realiti. Sama seperti dunia mereka.” Semua menyahut tanda memberi sokongan kepada puteri salju itu.
“Benar! Kami menyokong tuan puteri!” Semua beralih menumpukan perhatian kepada beberapa orang yang sangat rapat dengan Snow White iaitu tujuh orang kerdil yang pernah memberikan bantuan kepada Snow White. Salah seorang daripada mereka bangun iaitu ketua kepada tujuh orang kerdil itu. Memikirkan kesukaran yang akan dialami oleh orang lain untuk memandang dirinya, maka ketua orang kerdil itu berdiri di atas kerusi lalu memulakan bicara sokongannya.
“Kami sendiri menjadi saksi penderitaan tuan puteri. Tuan puteri berada dalam ketakutan. Tuan puteri terpaksa lari ke dalam hutan untuk bersembunyi dari ibu tirinya yang cemburukan kecantikannya. Semua ini berlaku dalam dunia manusia. Manusia sering cemburu sesama mereka. Mereka juga sanggup membunuh kerana iri hati. Sama juga seperti Cindarella. Dalam dunia manusia, wujudnya penderaan sedemikian rupa. Anak-anak mereka didera seperti hamba abdi.”
“Jadi bagaimana pula kamu hendak jelaskan mengenai kewujudan pari-pari, ahli sihir, serta keajaiban mati hidup kembali?” Pendakwa raya bersuara tegas mahu menafikan kenyataan ketua orang kerdil itu.
“Dalam dunia manusia…” Hansel berdiri cuba menyuarakan pendapatnya sementara Gretel berada disebelahnya memegang bakul penuh dengan manisan, “Dalam dunia manusia wujudnya makhluk seperti pari-pari. Bezanya, makhluk ini sukar dilihat dengan mata kasar. Makhluk ini juga memberi bantuan kepada manusia atas izin Tuhan. Ahli sihir itu juga wujud. Mereka menggunakan jampi dan hikmat tertentu untuk menganiaya serta memusnahkan hidup manusia lain. Kejadian mati hidup kembali juga terjadi. Ada manusia yang pernah mengalaminya. Hal ini terjadi. Juga atas izin Tuhan.”
Semua bersorak menyokong Hansel. Ketukan tiga kali berbunyi menandakan mereka perlu bertenang. Hakim mengeluh panjang. Hakim memanggil peguam bela dan pendakwa raya tampil untuk memberi kesimpulan terakhir sebelum para juri membuat keputusan akhir.
Peguam bela memandang para juri lalu memulakan kesimpulannya, “Saya memohon kepada pihak juri agar memberikan keadilan kepada penderitaan yang pernah mereka alami. Penderitaan mereka dikatakan rekaan semata-mata. Penyeksaan mereka dikatakan hanya sekadar cerita. Mahukah segalanya yang berlaku dikatakan sebagai satu penipuan sekadar mahu memberi pengajaran kepada dunia manusia? Tidak. Ini tidak seharusnya terjadi. Kita seharusnya diberikan peluang untuk memberitahu manusia bahawa dunia Kota Impian adalah dunia realiti. Cerita kita adalah realiti!”
Sekali sorakan kedengaran. Semua memandang pendakwa raya. Menanti apa yang mahu dikatakan. Pendakwa raya menarik nafas panjang. Dia mula memulakan langkahnya. Dia tidak berjalan menuju ke pihak juri. Dia berjalan ke arah hadapan tempat duduk orang ramai yang datang mendengar perbicaraan ini.
“Kita menderita untuk kebahagiaan manusia. Namun begitu, kita tetap bahagia akhirnya. Apa yang kita mahu lagi? Begitulah yang nyata selama ini. Kita derita awalnya, kemudian bahagia. Bukan seperti dalam hidup manusia. Ada yang masih menderita sehingga mati. Ada yang masih menderita tanpa sebarang bantuan diberikan. Wujudnya yang jahat menang dan yang baik kalah. Berbeza sekali dengan dunia Kota Impian. Kita sentiasa berakhir dengan kebahagiaan. Kita hanya realiti dalam dunia kita. Kita tidak mahu disamakan dengan realiti dunia manusia yang sentiasa berlaku pembohongan dan ketidakadilan.”
Semua yang hadir mula berbisik sesama mereka. Ada yang mengangguk tanda setuju dengan kata-kata pendakwa raya. Ada pula yang cuba meyakinkan yang lain bahawa kata-kata pendakwa raya itu hanyalah untuk mengelirukan minda mereka. Pihak juri diberi masa untuk berbincang sesama mereka agar mereka dapat memberikan keputusan yang sebaik-baiknya.
Ketukan tiga kali sekali lagi berbunyi. Hal ini menandakan pihak juri telah selesai berbincang dan telah pun mendapat satu persetujuan untuk satu keputusan. Ketua juri berdiri dan berkata, “Setelah berbincang dan mengadili setiap kenyataan yang diberikan, kami pihak juri telah bersetuju dengan satu keputusan. Keputusan kami ialah, dongeng tetap dongeng. Realiti adalah realiti. Namun begitu, kami mengiktiraf bahawa realiti dunia manusia wujud dalam dongeng dan dongeng ada dalam dunia realiti manusia.”

0 comments: